Friday, 18 November 2011

SENI CATAN




POTRET
MEDIA: WATER CLOUR




MEDIA : CAMPURAN

SENI LUKISAN

LIVE SKETCH
MEDIA: PENSIL







ORGANISASI KANDUNGAN

Kurikulum Seni Visual untuk sekolah rendah mengandungi empat bidang iaitu menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta mengenal kraf tradisional. Organisasi kandungan dalam empat bidang tersebut disusun berasaskan kepada empat standard kandungan iaitu persepsi estetik, aplikasi seni, ekspresi kreatif, dan apresiasi seni. Standard pembelajaeran digubal dan diperincikan bagi tujuan pengajaran berasaskan standard pembelajaran.

STANDARD KANDUNGAN 1 : PERSEPSI ESTETIK
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat persepsi dan memahami bahasa seni visual (unsur seni dan prinsip rekaan) yang terdapat pada alam ciptaan Tuhan, objek buatan manusia, dan karya seni.

STANDARD KANDUNGAN 2 : APLIKASI SENI
Standard kandungan ini membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, pemahaman, dan bahasa seni visual menerusi penentuan media dan teknik dalam aktiviti seni.

STANDARD KANDUNGAN 3 : EKSPRESI KREATIF
Standard kandungan ini mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman bahasa seni visual menerusi penzahiran idea melalui pelbagai sumber, kajian, dan teknologi dalam penghasilan karya seni.

STANDARD KANDUNGAN 4 : APRESIASI SENI VISUAL
Standard kandungan ini membolehkan murid membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual, sejarah seni, dan budaya. Murid juga boleh membuat penghayatan dan penghargaan seni warisan serta hubung kait seni visual dengan disiplin ilmu yang lain, kehidupan, dan kerjaya.

PENILAIAN DALAM SENI VISUAL




Penilaian dalam Seni Visual bukan hanya melibatkan pengujian dan pengukuran tetapi penilaian secara keseluruhan. Penilaian secara keseluruhan membolehkan murid menggabungkan kefahaman mereka kepada aspek kognitif, psikomotor, dan afektif. Secara tidak langsung, penilaian menitikberatkan fokus pada perbuatan murid yang mencungkil kemahiran berfikir serta melahirkan murid yang mampu membuat keputusan. Keberkesanan program mata pelajaran ini dapat diukur melalui Penilaian Kendalian Berasaskan Sekolah yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Penilaian Seni Visual KSSR mempunyai empat unsur iaitu penilaian berasaskan sekolah, penilaian yang fleksibel, penilaian yang mempunyai akauntabiliti, dan penilaian yang adil.


Penilaian berasaskan sekolah perlu dirancang dan dikendalikan secara berterusan dari segi pembinaan alat penilaian dan pentadbirannya. Penilaian yang fleksibel menitikberatkan penilaian yang mengambil kira keperluan sekolah serta ciri murid itu sendiri dari segi gaya pembelajaran dan kecerdasan murid. Penilaian boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Guru bertanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan penilaian yang mempunyai akauntabiliti seperti perancangan, penentuan instrumen, serta pelaksanaannya. Selain itu, guru juga harus merekod pencapaian murid, menganalisis markah tersebut, serta membuat laporan untuk membuat tindakan susulan yang berkaitan. Penilaian dalam Seni Visual bersifat adil kerana cara, bentuk, dan kandungannya harus mengikut keadaan dan ciri murid. Murid dinilai dari segi pengetahuan mereka, cara mereka berfikir, dan kemampuan psikomotor mereka.


Terdapat tiga kaedah penilaian dalam Seni Visual secara khususnya,iaitu pemerhatian, lisan dan interaksi, serta penulisan. Kaedah pemerhatian melibatkan pemerhatian proses dan pemerhatian hasil kerja. Pemerhatian yang dilakukan oleh guru semasa murid membuat kerja dikenali sebagai pemerhatian proses berguna kerana guru dapat menilai penguasaan kemahiran amali dan perkembangan bakat murid. Selain itu, guru juga dapat menilai penguasaan kemahiran sosial, amalan murid, serta memerhati pelahiran emosi dan perasaan.


Tahap kreativiti murid juga dapat dikesan melalui pemerhatian. Pencapaian kebolehan dan kemahiran murid yang diperlihatkan pada hasil kerja dilakukan dengan melihat kriteria-kriteria tertentu pada hasil kerja bagi tujuan penilaian. Antara kriteria yang dipilih untuk penilaian ialah gubahan, interpretasi, kemahiran, fungsi, keaslian, kreativiti, dan kemasan. Ini dikenali sebagai pemerhatian hasil kerja. Kaedah lisan dan interaksi dapat menolong guru menilai penguasaan murid terhadap aspek seni melalui aktiviti yang dijalankan.

Contohnya soal jawab, kuiz, perbincangan, sumbang saran, puisi, temu bual, bercerita, lakonan, dan nyanyian.
Kaedah penilaian secara penulisan pula berbentuk ujian pensel dan kertas. Penilaian ini boleh ditadbirkan secara formal dan tidak formal dengan instrumen yang berbentuk objektif dan subjektif. Tugasan dan portfolio yang diberikan selepas pengajaran satu atau sebilangan tajuk atau tema Seni Visual adalah satu kaedah penilaian secara penulisan.

FOKUS MATA PELAJARAN

Tumpuan mata pelajaran ini merangkumi empat aspek utama iaitu:
a. pemerhatian secara aktif
b. interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
c. apresiasi seni visual secara mudah
d. menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
a. Pemerhatian secara aktif

Pemerhatian secara aktif adalah aspek perkembangan deria penglihatan, yang merangkumi pemerhatian keseluruhan, berfokus, dan terperinci untuk menajamkan persepsi murid. Selain itu, aspek ini juga melibatkan pancaindera lain dalam membantu perkembangan emosi dan imaginasi melalui kajian perbandingan. Faktor ini, dapat membantu pemahaman murid tentang asas seni visual dalam membuat pemerhatian terhadap alam benda dan alam semula jadi secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Umumnya secara keseluruhan kegiatan ini akan dapat membantu murid menyelaraskan idea, imaginasi, dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.
b. Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi, dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang.


c. Apresiasi seni visual secara mudah
Apresiasi seni visual memberikan pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa-apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara seperti lisan, cerita, lakonan, nyanyian, karangan, dan puisi. Murid diperkenalkan kepada tokoh-tokoh seni dan menghargai sumbangan mereka.
d. Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain diberikan pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan, dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan pelbagai situasi.

Thursday, 17 November 2011

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN



Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.


MATLAMAT

Dunia Seni Visual bermatlamat untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif, dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa, serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.



OBJEKTIF

Setelah mengikuti Kurikulum Dunia Seni Visual Tahap I murid dapat:
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif, dan menyeronokkan
3. menajamkan daya imaginasi melalui pancaindera
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat, dan selamat
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disipilin diri, dan bertanggungjawab
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual
10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah