Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
MATLAMAT
Dunia Seni Visual bermatlamat untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif, dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa, serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
OBJEKTIF
Setelah mengikuti Kurikulum Dunia Seni Visual Tahap I murid dapat:
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan
2. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif, dan menyeronokkan
3. menajamkan daya imaginasi melalui pancaindera
4. mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya
5. mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
6. membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat, dan selamat
7. memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disipilin diri, dan bertanggungjawab
8. mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air
9. menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual
10. melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah